Kejadian itu berlaku ketika pelakon dan pengarah filem terkenal terbabit hadir ke balai polis tersebut untuk membuat laporan berhubung kes kemalangan jalan raya sebelum dia tiba-tiba mengamuk.

Hasil ujian air kencing pula mendapati suami kepada pelakon jelita, Datin Diana Danielle, 27, itu positif dadah jenis ganja.

Berita ini memeranjatkan rakyat Malaysia terutama peminatnya kerana pengarah filem Lagenda Budak Setan dan V3 Samseng Jalanan itu merupakan seorang pelakon yang baik, berdisiplin dan tidak banyak menimbulkan kontroversi.

Rentetan kes itu, beberapa individu tampil mendedahkan tindakan Farid Kamil itu antara lain dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan dan kemurungan yang dialami pelakon terbabit. Faktornya mungkin kerana masalah kerjaya serta peribadinya.

Tekanan jiwa sebenarnya terjadi kepada semua individu tanpa disedari. Antara puncanya ialah masalah kewangan, hutang, menghidap penyakit berbahaya seperti kanser, pekerjaan, kemiskinan, persekitaran dan keluarga.

Stres adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan dalam hidupnya. Jika gagal mengatasi ancaman yang sedang dilaluinya, seseorang itu akan berubah tingkah laku serta boleh mengalami gangguan mental.

Lebih menakutkan apabila nyawa berakhir dengan jalan singkat iaitu membunuh diri.

Sebab itu kita sering dengar berita-berita mangsa yang mengalami tekanan bertindak membunuh diri kerana tidak mahu meneruskan hidup malah mereka sanggup mengheret insan tidak bersalah terutama anak-anak untuk mati bersama dengan cara membunuh diri.

Ramai pakar yang telah memberi amaran bahawa penyakit mental akibat tekanan bakal menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung menjelang 2020.

Pekerja di Malaysia juga tidak terkecuali daripada masalah ini kerana Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus populasi negara menghidap pelbagai masalah mental.

Sokongan masyarakat amat diperlukan namun kebanyakan daripada kita hanya memberi bantuan selepas seseorang itu melakukan tindakan di luar dugaan. Lebih malang apabila pelbagai tekanan diberikan terhadap seseorang yang sedang derita dengan masalah itu.

Tekanan jiwa boleh dibendung daripada menjadi parah jika masyarakat dapat mengenali petanda awal seseorang itu mengalami masalah tersebut menerusi karakter mereka.

Berdasarkan portal rasmi Myhealth Kementerian Kesihatan, dari segi fizikal, seseorang yang mengalami tekanan akan sering gementar, berpeluh, sakit kepala, kurang selera makan, kurang berminat melakukan hubungan seksual dan cepat letih.

Dari segi tingkah laku pula, mereka yang tertekan sering bercakap dengan cepat dan kuat, suka gigit jari, sering menguap, mudah lupa, selalu membuat kesilapan, bertindak ganas, mudah tersinggung dan suka mengkritik orang lain.

Signal-signal awal ini perlu diberi perhatian oleh individu terbabit serta masyarakat. Kaunseling dan rawatan awal pakar dilihat dapat membendung seseorang itu daripada tingkah laku di luar dugaan. 

Bagaimanapun, dalam perkara tertentu, tekanan mempunyai kebaikan dalam hidup. Misalnya dalam pekerjaan, jika tiada perasaan itu, kita tidak akan melakukan tugasan ke tahap optimum sebaliknya hanya sambil lewa.

Begitu juga dalam pendidikan, seseorang pelajar yang cemerlang pastinya menghadapi pelbagai tekanan namun pengurusan yang baik membolehkannya meningkatkan tahap keupayaan diri yang sebenar.

Jadikan tekanan sebagai asam garam kehidupan. Terpulang kepada diri sendiri untuk menerima sebarang perubahan dalam hidup secara tiba-tiba. Pastinya, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan selagi bernafas.