Biasanya jika di rumah, kenakalan seorang kanak-kanak termasuk menyelinap keluar dari rumah secara sembunyi untuk bermain dengan kawan-kawan. Pada zaman kecil dahulu, penulis sendiri pernah senyap-senyap keluar dari rumah ketika ibu sibuk di dapur. Tidak lain, hanya untuk bermain bola baling tin, rounders, batu seremban serta penutup botol.

Semua permainan zaman kanak-kanak dahulu sa­ngat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak generasi sekarang. Jarang kita boleh lihat ada yang bermain guli, getah mahupun konda kondi di kawasan kejiranan masa ini. Lebih-lebih lagi jika kawasan perumahan di ibu kota.

Bukan permainan zaman kanak-kanak yang ingin penulis ketengahkan, tetapi perbualan dalam kumpulan WhatsApp baru-baru ini menarik perhatian untuk dikongsi bersama. Ada antara rakan yang seolah-olah suci bak malaikat ketika ada yang menyingkap kembali kenakalan zaman sekolah.

Ada yang mengaku pernah ponteng sekolah, panjat pagar selain curi-curi bawa motosikal ayah ketika di tingkatan tiga. Namun, dalam ramai-ramai yang mula menyingkap kenakalan zaman kanak-kanak, ada seorang dua yang kononnya acah-acah suci bak kata orang sekarang, mengaku tidak pernah buat kesalahan zaman kanak-kanak kerana takut ada yang memerhati. Walhal, masing-masing juga tahu kenakalannya yang pernah sama-sama ponteng sekolah.

Bagaimanapun, kala usia sudah hampir 40 tahun, kami semua diam sahaja dan menganggap si polan mempunyai masalah ingatan atau mungkin ada kisah hitam yang tidak mahu dikenangnya membuatkan dia pura-pura lupa.

Hakikatnya, setiap yang bernama manusia, semua pernah melakukan perkara yang dilarang ibu bapa terutama pada zaman persekolahan. Ditegah jangan bising, kita bising juga. Dilarang kotorkan kasut, kita seronok juga bermain pijak kasut. Bercakap tentang nakal, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sendiri pernah mengakui dalam satu wawancara mengenai kenakalan beliau ketika di alam persekolahan sehingga perkara itu diberitahu oleh guru kepada penjaga­nya pada hari mengambil kad laporan pelajar.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nur­haliza Tarudin juga mengakui pernah nakal zaman sekolah. Selain beliau, pelakon filem Polis Evo 2, Shaheizy Sam juga suka mengusik orang ketika zaman per­sekolahan dan akibat kenakalannya. Beliau juga pernah didenda masa perhimpunan.

Bagi penulis, kenakalan zaman sekolah bukanlah satu perkara buruk selagi tidak terjebak dengan kes-kes berat seperti terlibat dalam penyalahgunaan dadah, pukul pelajar lain dan sebagainya. Pada ke­biasaannya, nakal zaman sekolah itu lebih kepada mengusik sekadar bergurau. Walau pernah berdiri atas kerusi dan di hadapan kelas kerana tidak siap kerja sekolah dan berbual ketika guru mengajar, syukur apabila kita dikatakan masih menjadi ‘orang’.

Buat anak-anak yang bakal melangkah masuk ke alam persekolahan minggu depan, gunakanlah pe­luang pada usia muda untuk mencipta kenangan. Ja­ngan takut kegagalan kerana mereka yang bangkit daripada kegagalan biasanya akan menjadi orang yang lebih cemerlang dalam hidup masing-masing.