Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 51 tahun itu diperdaya selepas ditawarkan peluang memohon MayKad bertaraf Pemastautin Tetap untuk dua pekerjanya yang merupakan rakyat negara asing.

"Sekitar April lalu, Azlan menghubungi dan meminta mangsa membawa dua pekerjanya hadir ke pejabat JPN Bentong untuk mengambil cap jari bagi urusan permohonan MyKad berstatus Pemastautin Tetap.

"Pada 21 Mei 2019 (semalam), suspek sekali lagi menghubungi dan meminta mangsa bertemunya di hadapan pejabat JPN Bentong serta diminta membayar RM50,000 bagi meneruskan urusan mendapatkan MyKad," kata beliau.

Memberitahu pemberita menerusi kenyataan hari ini, Mohd. Wazir menambah, lelaki tersebut bagaimanapun menghilangkan diri serta gagal dihubungi sejurus menerima wang daripada mangsa.

Tambah beliau lagi, mangsa yang menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur itu terus bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong sejurus menyedari telah ditipu oleh suspek.

"Susulan laporan tersebut, polis berjaya menahan lelaki berusia 60 tahun untuk membantu siasatan.

"Polis juga masih berusaha mengesan seorang lagi lelaki yang merupakan suspek utama dalam kes itu," tambahnya. - K! ONLINE