Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek ditahan pada pukul 10 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak setelah menerima maklumat daripada orang awam.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis itu telah menjumpai sepucuk senjata berwarna hitam tanpa jenama dan tiada nombor siri beserta satu kelopak mengandungi 122 biji bebola putih.

“Senjata tiruan itu diletakkan di bahagian belakang pintu premis tersebut sebelum dirampas dan suspek dibawa ke IPD Gombak untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samsor menambah, suspek membeli senjata itu melalui laman sosial Facebook dan seterusnya berurusan dengan seorang lelaki warga Thailand.

“Dia membeli senjata itu pada 11 tahun lalu di Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan harga RM1,800.

“Suspek memberikan alasan bahawa senjata dibeli sebagai hobi dan bersukan ketika berada di Muar, Johor dan disimpan di dalam pejabat untuk tujuan keselamatan,” ujarnya.

Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Dia seterusnya direman selama tiga hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. - K! ONLINE