Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ia juga diharap dapat membantu industri perumahan negara untuk berada pada landasan sebenar.

"Kempen yang dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini telah mendapat sambutan yang baik daripada pembeli rumah dan syarikat pemaju perumahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kempen itu mula dijalankan sejak Januari lepas atas inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama beberapa persatuan pemaju perumahan.

Menurut Zuraida, antara lain yang memberi manfaat kepada pembeli dengan menawarkan pengecualian terus duti setem atau pengurangan duti setem yang bergantung kepada harga unit kediaman.

"Selain itu, tambahan potongan harga 10 peratus berdasarkan harga permit iklan dan jualan asal atau harga jualan juga dapat dinikmati pembeli," katanya.

Tambahnya, beliau dimaklumkan terdapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pembeli dan syarikat pemaju agar tempoh kempen dilanjutkan hingga Disember berbanding sasaran asal sehingga Jun 2019. - Bernama