Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, tempoh HOC dilanjutkan selepas ia melepasi sasaran asal iaitu sehingga bulan Jun ini.

“Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat permintaan dan cadangan yang kuat dikalangan para pembeli dan syarikat-syarikat pemaju agar tempoh kempen ini dilanjutkan sehingga Disember daripada sasaran asal iaitu hanya sehingga Jun.

“Semoga lanjutan tempoh ini dapat membuka lebih ruang agar ramai rakyat negara ini dapat memiliki kediaman sendiri sekali gus membantu industri perumahan negara untuk berada pada landasan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zuraida, HOC dengan kerjasama Persatuan Pemaju Perumahan seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) telah memberi manfaat kepada pembeli-pembeli unit rumah baharu dengan menawarkan pengecualian terus duti setem atau pengurangan duti setem yang bergantung kepada harga unit sesebuah rumah tersebut.

Jelasnya, selain itu, kempen itu juga memberikan tambahan potongan harga peratus berdasarkan harga permit iklan dan jualan asal atau harga jualan juga dapat dinikmati pembeli.

“HOV telah mula dijalankan atas inisiatif bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak Januari tahun ini. 

“Kempen yang dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini telah mendapat sambutan yang baik dari pembeli-pembeli rumah dan syarikat pemaju perumahan,” katanya. - K!ONLINE