Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, tabung itu diwujudkan bagi merawat lebih 7,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang cedera akibat kekejaman rejim Israel. 

Beliau berkata, ketika ini bantuan perubatan didapati berkurangan selepas serangan 'The Great Return March' lalu.

"Hospital-hospital di Gaza mengalami masalah kekurangan bekalan perubatan dengan jumlah pesakit yang makin meningkat susulan serangan yang dipergiatkan oleh rejim Zionis. .

"Ketika kami melawat sebuah bilik bedah di sebuah hospital didapati keperluan peralatan yang terkini dan canggih serta  tenaga pakar tidak mencukupi. Mereka hanya memiliki peralatan asas bagi menjalani pembedahan ke atas pesakit,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Dana Medical4Gaza Econsave-MyCare di sini hari ini yang dirasmikan oleh  Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. 

Turut hadir, Pembantu Timbalan Menteri Kesihatan Gaza, Dr. Ahmed Al Khodary, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Kamarul Zaman berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 551575004299 atau CIMB Islamic 8602135592 atas nama MyCare. - K! ONLINE