Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, sasaran itu berdasarkan peningkatan setiap tahun oleh segmen tersebut yang bertambah kira-kira 9.0 peratus tahun lepas berbanding 2016, meletakkan Korea sebagai negara ke-7 daripada 46 negara yang rakyatnya paling ramai melawat Malaysia.

"Peningkatan berkenaan menunjukkan perkembangan positif dalam industri pelancongan negara dan negara berkenaan merupakan antara pasaran penting untuk kita pelopori," katanya kepada pemberita selepas perasmian Bengkel Pembangunan Kapasiti  Pelancongan ASEAN-Korea 2018 di sini hari ini. 

Katanya, setakat April lalu, negara mencatatkan kehadiran kira-kira 200,000 pelawat dari Korea yang majoritinya tertarik dengan kepelbagaian dan keunikan warisan serta budaya rakyat negara ini termasuk keistimewaan Melaka dan Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Sehubungan itu katanya, pelbagai usaha mempromosi dan memperkukuh kerjasama dua hala industri pelancongan diambil termasuk menerusi Pusat ASEAN-Korea (AKC). - Bernama