Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd. Nasaie Ismail, laporan itu dibuat selepas Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Kewangan dan Perolehan, Tan Sri Ambrin Buang menjalankan siasatan 16 kes land swap milik kementerian tersebut.

Jelasnya, kesemua projek land swap itu melibatkan 1,182 hektar tanah milik persekutuan yang bernilai RM4.7 bilion dengan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan sebanyak RM4.8 bilion.

“Bagaimanapun, hanya lima projek telah disiapkan sehingga Disember tahun lalu dengan dua projek masih dalam pembinaan dan baki sembilan projek lagi tidak pasti sama ada gagal disiapkan atau masih dalam proses untuk ditandatangani.

“Daripada 16 projek itu, hanya dua projek iaitu Pusat Pengajian Nasional di Putrajaya dan Fasiliti Skuadron 323 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bukit Banang, Johor berada dalam Pelan Pembangunan Kementerian Pertahanan manakala selebihnya tidak menjadi keutamaam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kosmo! Online Februari lalu melaporkan, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung dua projek kem tentera yang melibatkan hasil urus niaga land swap sehingga menyebabkan kerugian besar dan mengancam strategik pertahanan negara.

Dua projek itu terletak di Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak.

Kedua-dua projek itu dijalankan oleh pihak swasta hasil pertukaran tapak tanah kem tentera di Kinrara, Selangor dan Rasah, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Nasaie, pemilihan syarikat pelaksana projek itu juga tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

“Syarikat itu mesti berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan kukuh iaitu minimum 10 peratus daripada nilai projek dan ia memberi kesan kelewatan projek sehingga ada yang lewat 11 tahun.

“Berdasarkan siasatan, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM515 juta berdasarkan lanjutan tempoh projek yang gagal disiapkan segera, kontrak tambahan yang tidak termasuk dalam perancangan dan penetapan nilai tanah gantian yang lebih rendah daripada harga semasa yang dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta,” katanya.

Tambahnya, bukan hanya kerugian malah kes itu juga menjejaskan kedudukan strategik pertahanan negara ekoran kegagalan projek tertentu selain mampu mengancam keselamatan negara. - K! ONLINE