Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, SBP bagaimanapun hanya menawarkan kira-kira 10,000 tempat untuk pelajar yang layak.

"Semua pemohon akan menjalani ujian kemasukan ke SBP pada 11 hingga 15 Disember depan yang akan dilakukan secara dalam talian di 200 pusat ujian seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program My New School di Sekolah Kebangsaan Paya Rawa di sini hari ini.

Kata beliau, ujian tersebut menjadi syarat baharu kemasukan ke SBP bermula tahun ini.

"Selain keputusan ujian kemasukan, kelayakan pelajar turut dinilai berdasarkan empat komponen dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini," ujarnya.

Tambahnya, tiga komponen lagi dalam PPSR adalah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi). - K! ONLINE