Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, isu tuduhan tersebut adalah amat berat membabitkan integriti pegawai-pegawai di kementerian tersebut.

Katanya, satu laporan polis juga telah dilakukan di sebuah balai polis di Putrajaya semalam oleh kementerian bagi menyiasat perkara tersebut.

"Saya mengambil serius isu tersebut dan memastikan mereka yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kuasa akan diambil tindakan tegas.

"Kita nasihatkan guru-guru supaya terus berhubung dengan kementerian dan bukannya pihak luar atau ketiga bagi mengelakkan unsur-unsur penipuan berkaitan permohonan pertukaran guru," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Karangkraf di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas komen seorang pengguna yang memuat naik bahawa terdapat unsur penipuan melibatkan pembayaran dalam pengurusan pertukaran guru di laman sosial Facebook.

Maszlee menegaskan proses kelulusan pertukaran seorang guru berdasarkan kepada tiga kriteria utama iaitu Kepentingan Perkhidmatan, Kekosongan Perjawatan serta Keperluan Opsyen di sesebuah sekolah di negeri yang dimohon.

Jelas beliau, alasan-alasan permohonan yang dipertimbangkan dalam penentuan kelulusan pertukaran termasuk sakit kronik, ancaman keselamatan, mengikut pasangan dan tempoh berkhidmat di sesebuah sekolah. - K! ONLINE