Mengalu-alukan inisiatif murni dalam merealisasikan penubuhan universiti yang diharap menjadi sebuah pusat pengajian tinggi terkemuka negara, Maszlee berkata, beliau berpeluang menghadiri sesi perbincangan mengenainya baru-baru ini.

"Kementerian Pendidikan telah terlibat secara langsung dalam menyumbang tenaga pakar kepada Jawatankuasa Sekretariat dan Jawatankuasa Pemandu penubuhan Universiti Johor," katanya kepada Bernama.

Berdasarkan kepada hasil perbincangan, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam yakin graduan yang bakal dilahirkan oleh Universiti Johor bukan sahaja akan mempunyai kompetensi tinggi dari segi pengetahuan dan kemampuan dalam bidang akademik dan kemahiran serta mereka juga akan dilengkapi nilai-nilai murni bagi pembentukan sahsiah dan keperibadian unggul.

Pada 16 Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan memberitahu Dewan Undangan Negeri bahawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah memperkenan penubuhan Universiti Johor pada Jun lepas. - Bernama