Ketika ini sebanyak 27 peratus daripada 82,000 peserta yang mengikuti pelbagai program bimbingan keusahawanan anjuran kementerian itu adalah wanita.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, wanita terutamanya dari luar bandar harus mengambil peluang tersebut yang juga sebahagian daripada inisiatif kerajaan membantu golongan sasar.

Menurut beliau, terdapat 12 buah agensi di bawah kementerian itu yang menyediakan pelbagai program bimbingan keusahawanan termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

"Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jun lalu menyediakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi.

"Jadi apa yang dilakukan oleh pihak kementerian ketika ini adalah adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawanita desa," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap bagi merasmikan program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) anjuran Kemas di Pusat Konvensyen Casuarina di sini hari ini.

Pada majlis ini, seramai 45 peserta menerima Kit Peralatan Kursus Kemahiran 'Quick Win' seperti ketuhar elektrik dan mesin jahit.

Mengulas lanjut kata Rina, golongan wanita desa juga perlu berfikiran jauh termasuk meletakkan hasrat untuk membangunkan perniagaan yang diceburi sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Jelas beliau, ini termasuk membuang mentaliti enggan untuk berdaftar dengan Suruhanjaya  Syarikat Malaysia (SSM) gara-gara bimbang terkeluar daripada senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

"Mereka (wanita desa) beritahu tak nak daftar SSM kerana bimbang tak layak terima BSH sebanyak RM1,000 setahun atau jika dikira adalah RM83 sebulan.

"Sebaliknya SSM merupakan dokumen asas untuk menceburi perniagaan dan sekiranya berjaya (dalam perniagaan) pendapatan yang dijana sudah pasti berganda," ujar beliau. - K! ONLINE