Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif berhubung perkara itu dengan merangka rang undang-undang merangkumi kawalan terhadap rokok elektronik dan vape yang dijangka dibentang di Parlimen selewat-lewatnya tahun depan.

“Keputusan sama ada penjualan dan penggunaan rokok elektronik dan vape akan diharamkan di negara ini bergantung kepada keputusan kajian yang sedang dilakukan terma­suk mengambil kira keperluan dan situasi semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia yang menggesa kerajaan segera mengharamkan penjualan vape dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja.

Gesaan itu dibuat berikutan kandungan dalam cecair vape dipercayai dicampur dadah serta terdapat banyak pihak beranggapan vape hanya mengan­dungi nikotin yang menyebabkan ketagihan serta tanpa tar yang menjadi punca kanser.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr. Zubaidi Ahmad berkata, kandungan nikotin yang terdapat dalam rokok elektronik dan vape adalah kira-kira dua atau tiga kali ganda lebih daripada kandungan nikotin dalam rokok.

“Sebagai contoh, dalam sebatang rokok ada lebih kurang dua hingga tiga miligram (mg) nikotin tetapi dalam vape mungkin mengandungi empat hingga 12mg nikotin. Kandu­ngan nikotin yang berlebihan inilah yang akan menjejaskan kesihatan penghisapnya.

“Apa yang menjadi kebimbangan ialah vape ini juga dikhuatiri turut dicampur nikotin yang merupakan bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar, ulser perut dan usus,” jelasnya.