Beliau berkata, larangan merokok di semua restoran dan premis makanan mulai 1 Januari depan tidak menghalang perokok untuk merokok, tetapi dengan syarat melakukannya jauh dari kawasan larangan.

"Kerajaan amat menghormati mereka yang tidak merokok dan kita hormati hak perokok. Kita tidak halang sepenuhnya kalau nak merokok tetapi biar di kawasan lapang, jauh dari kawasan awam, jangan sampai jejaskan kesihatan orang lain," katanya.

Boon Chye yang juga ahli Parlimen Gopeng bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program gotong royong di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan pihak Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) meminta kerajaan menangguhkan larangan berkenaan kerana menyifatkan merokok merupakan kebiasaan masyarakat negara ini dan perokok tegar sukar membendung ketagihan itu. - Bernama