Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee  Boon Chye berkata, saranan itu dibuat agar rakyat Malaysia yang suka minum minuman berkenaan juga mendapat manfaat kesihatan yang baik selepas kadar kandungan gula itu dikurangkan. 

“Perbincangan dengan pihak pengilang minuman berkenaan sebelum ini mendapati bahan alternatif bagi menggantikan gula itu mahal sekali gus meningkatkan kos pengeluaran minuman berkenaan. 

“Jadi, kementerian mencadangkan agar kadar kandungan gula di dalam minuman tersebut dikurangkan agar penggemar minuman berkenaan dapat menikmatinya selain dapat menjaga kesihatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Derma Darah dan Anti Merokok peringkat Parlimen Batu Gajah yang diadakan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Gajah di sini sebentar tadi. 

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar. 

Tambah Boon Chye, Kementerian Kesihatan menyokong usaha Kementerian Kewangan itu melaksanakan dasar berkenaan dan kempen pemakanan secara sihat turut diadakan secara berterusan bagi menyokongnya.- K! ONLINE