Kajian untuk penawar penyakit itu melibatkan pegawai perubatan daripada Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan Hospital Sungai Buloh. Kejayaan itu diumum di Kongres Hati Antarabangsa yang berlangsung di Paris, Perancis semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, penawar untuk penyakit itu dihasilkan dengan kerjasama Drug for Neglected Disease Initiative (DNDI), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Geneva.

"Hasil kajian kita telah membuktikan bahawa rawatan baharu iaitu gabungan 2Direct Acting Agent (DAA) untuk pesakit Hepatitis C adalah berkesan dan pesakit mencapai tahap pemulihan sehingga 97 peratus.

"Seperti yang diketahui, virus amat sukar dipulihkan seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) sampai sekarang belum ada penawar, namun kali ini kita berjaya mencipta penawar untuk Hepatitis C," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

Hilmi berkata, penawar yang dihasilkan itu mampu merawat 500,000 pesakit Hepatitis C di negara ini dan dengan penemuan itu juga, orang ramai kini boleh mendapatkan rawatan pada kadar yang teramat murah iaitu RM1,200 (untuk 12 sesi) berbanding negara lain RM320,000. - Bernama