Menterinya, Teresa Kok menegaskan bahawa langkah itu tidak wajar dan tidak adil yang berpotensi mengganggu kehidupan rakyat negara pengeluar minyak sawit utama termasuk Malaysia.

Oleh itu, katanya, Malaysia merancang untuk membantah keras terhadap tindakan itu dan juga akan mendapat sokongan daripada pengeluar minyak kelapa sawit utama lain.

"Ini adalah keputusan yang paling tidak dialu-alukan dan bertentangan dengan prinsip perdagangan bebas dan adil. Undian oleh ahli Parlimen terbabit adalah membimbangkan dan patut dikutuk sekeras-kerasnya.

"Tindakan mereka yang mengetepikan penggunaan dan pengimportan minyak kelapa sawit sebagai sebahagian daripada campuran tenaga boleh diperbaharui yang diluluskan itu boleh menjejaskan hubungan perdagangan dua hala kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teresa juga menegaskan bahawa undi oleh ahli Parlimen Perancis yang menerima pakai pindaan kepada undang-undang biofuel dan bahan api yang sedia ada dan tidak mengiktiraf biodiesel sawit sebagai bahan api hijau, sebagai diskriminasi dan tidak adil.

"Oleh itu, saya menggesa Senat Perancis untuk membuat keputusan yang bertanggungjawab ke atas undi di Dewan Rakyat," tambah Kok.

Beliau berkata, dengan mengesahkan undi Dewan Negara Perancis untuk mengetepikan minyak sawit akan memberi impak besar kepada berjuta-juta kehidupan, bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga penduduk Asia Tenggara dan ekonomi negara terbabit. - Bernama