Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, sebanyak lapan kematian akibat demam denggi dilaporkan sehingga minggu ke-26 tahun ini berbanding hanya dua kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

"Ia menunjukkan peningkatan sebanyak enam kes atau 300 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.

"Secara kumulatif sehingga 29 Jun lalu, sebanyak 3,037 kes denggi dilaporkan berbanding 2,185 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 852 kes atau 38.99 peratus," kata kenyataan itu di sini sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 68 kes dilaporkan sepanjang minggu ke-26 berbanding 77 kes pada minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak sembilan kes (11.69 peratus).

"Pada ketika ini terdapat 14 lokaliti wabak terkawal iaitu di Lorong Lengkuas, Flat PPR, Lorong Zoo, Taman Lembah Hijau, Villa Kejora, Lorong Semarak Api dan Menara River View di daerah Timur Laut serta Taman Bunga Raya dan Taman Teratai di daerah Seberang Perai Utara.

"Manakala di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) melibatkan lokaliti Taman Sri Tenang, Flat Raman Sri Bukit Indah, Flat Inderawasih, Taman Santuari dan TPJ Flat Telok Indah D2 selain dua lokaliti wabak tidak terkawal di Flat Kampung Melayu di daerah Timur Laut dan Taman Nirwana di SPT," kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut berkata, pihaknya mengesan dua lokaliti hotspot wabak denggi iaitu di Jalan SP Chelliah, dan Harbour View Apartment di kawasan Timur Laut. - K! ONLINE