Mangsa dipercayai maut setelah telah bertindak untuk menyelamatkan dua orang rakan gurunya semasa kejadian berlaku.

Ketua Polis Marudi Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, menurut saksi sebelum kebakaran berlaku bekalan elektrik terputus (blackout) dan tiba-tiba api terus merebak dari bahagian dapur dengan pantas.

"Dalam keadaan kelam kabut keluar menyelamatkan diri, mangsa dikatakan cuba mengeluarkan dua orang guru yang berada di dalam sebuah bilik namun beliau tidak sempat menyelamatkan dirinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gabriel berkata,  dua guru tersebut melecur iaitu Nur Syuhada Azahari yang melecur 22 peratus di bahagian muka dan badan serta seorang guru lagi dikenali sebagai Siti Masrina melecur bahagian kaki.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah dibawa dari Mulu ke Miri dan terus ke Hospital Miri pukul 5 petang.  Catherine mengajar di SK Penghulu Baya Mallang

Menurut Gabriel, Nur Syuhada telah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan  lanjut  manakala  Siti  Masrina yang melecur di bahagian kaki telah mendapatkan rawatan di Klinik Mulu.

"Kami mendapati lebih 99 peratus kuarters berkembar guru tersebut telah hangus terbakar dan  bahagian bilik mandi tidak hangus," katanya.

"Buat masa ini punca kebakaran masih disiasat namun setakat ini tiada unsur perbuatan khianat dikesan," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, bapa mangsa bekerja sebagai anggota Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Bau sementara mangsa ialah guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Miri. - Bernama