Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bermula 29 Mei lalu, seramai 20 pegawai serta 234 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ibu negara telah ditugaskan memantau keselamatan jalan raya, melancarkan lalu lintas, dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi untang-undang serta memandu secara berhemah.

“Sepanjang tempoh op berkenaan dijalankan, jumlah kematian akibat kemalangan maut telah menunjukkan penurunan iaitu sebanyak enam kes berbanding 14 kes pada tahun 2018.

“Dalam tempoh tersebut sebanyak 2,788 kes kemalangan telah direkodkan manakala sebanyak 23,380 notis saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, terdapat enam kesalahan yang menjadi fokus Op Selamat 15 dijalankan iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak berhenti di lampu isyarat dan memandu sambil menggunakan alat komunikasi.

“Kesalahan-kesalahan ini merupakan antara kesalahan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan mengakibatkan kemalangan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Mazlan turut menyatakan bahawa tiada sebarang kes pecah rumah berlaku sepanjang penghuni kota pulang ke kampung halaman untuk menyabut Hari Raya Aidilfitri.

“Sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu, polis Kuala Lumpur telah menyeru orang ramai untuk mengisi borang ‘Balik Kampung’ di balai polis berdekatan atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memaklumkan ketiadaan penghuni di rumah untuk tujuan pemantauan pihak Polis.

“Justeru itu, sepanjang musim perayaan baru-baru ini, tiada kes pecah rumah yang berlaku di kediaman yang ditinggalkan di Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Tambah beliau, polis Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai yang mematuhi undang-undang jalan raya dan arahan pihak polis yang bertugas sepanjang kempen Op Selamat 15 dijalankan.

“Polis Kuala Lumpur juga ingin menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan pemanduan yang selamat dan berhemah sepanjang masa serta bukan hanya sewaktu kempen atau operasi dijalankan sahaja supaya jumlah kemalangan di jalan raya dapat dikurangkan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H. S. Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. - K! ONLINE

EDDY HAMIDI