Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, polis bagaimanapun masih dalam proses mengambil keterangan beberapa lagi mangsa dan saksi kes tersebut bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan awal polis setakat malam tadi mendapati seramai 37 mangsa terlibat dan seorang daripada mereka maut. Sebahagian mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban, manakala sebahagian lagi dihantar ke Hospital Jelebu.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas berusia 51 tahun gagal mengawal kenderaannya apabila tiba di tempat kejadian dan melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail dari arah belakang menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke lereng bukit sebelum terbalik," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, siasatan awal polis mendapati semasa kejadian bas henti-henti itu membawa penumpang terdiri daripada 11 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang, 20 pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang dan tiga orang awam, manakala Nissan X-Trail dinaiki tiga individu.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik HTJ pagi ini apabila ahli keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, yang maut dalam kemalangan itu hadir bagi menuntut jenazahnya.

Salah seorang guru kelas pelajar jurusan elektrik itu, Masad Masiran, 29, yang turut hadir menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pelajar yang baik, mendengar kata guru dan tidak menyangka kejadian itu boleh menimpanya.

Menurut beliau, sebelum kejadian, Muhammad Firdaus dan rakan-rakannya baru menamatkan peperiksaan pertengahan tahun dan Allahyarham difahamkan mahu pulang ke rumah keluarganya di Kampung Harmoni, Bestari Jaya, Selangor sempena cuti semester.

“Semua pelajar kami diberi cuti dua minggu sehingga 12 Jun depan. Mereka begitu bersemangat pulang ke rumah untuk meraikan Aidilfitri,” katanya. - K! ONLINE