Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud yang jelas kecewa berikutan beranggapan sebagai pasukan keselamatan mempunyai displin yang tinggi.

Beliau berkata, berdasarkan semakan mendapati kem tersebut menjadi lokasi wabak selama 137 hari.

"Kem PGA itu merupakan satu-satunya kawasan paling lama wabak dikesan di daerah Hulu Langat.

"Kita semestinya memandang serius isu ini dan berharap pihak mereka mengambil pendekatan sewajarnya," katanya pada sidang akhbar pelancaran kempen Cari dan Musnah : Selangor Bebas Denggi 2019 di sini hari ini.

Menurut Mariah, lima daerah di negeri ini menjadi lokasi panas iaitu Petaling dengan 62 lokasi diikuti Hulu Langat (26),Gombak (13) dan Klang serta Hulu Selangor masing-masing lapan lokasi.

Beliau menambah, berdasarkan statistik 1 Januari hingga 6 Julai tahun ini mendapati sebanyak 37,263 kes denggi dilaporkan dengan 34 kematian.

Ini berbeza bagi tempoh sama pada tahun lalu dengan 19,357 kes dengan 16 kematian.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan 108 peratus kes dan ini amat serius. Peningkatan yang ketara berlaku selepas musim perayaan iaitu pada minggu ke-24 hingga minggu ke-27 masing-masing sebanyak 1,193 kes dan 1,719 kes demam denggi.

"Situasi ini menunjukkan ketidakprihatinan penduduk Selangor dalam mencegah dan membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes," jelasnya. - K! ONLINE