Perkara tersebut dimaklumkan keluarga berkenaan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon selepas beliau mengunjungi ibu bapa murid berusia 11 tahun itu di rumah mereka di sini pagi tadi.

"Amat malang kerana ada individu yang didakwa melakukan ugutan bunuh. Keluarga itu mengalami trauma ekoran kes berkenaan dan kini menerima ugutan tersebut pula. 

"Ini merupakan perbuatan buli siber," kata Sin Woon kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Kempen Menderma Kasut di pejabatnya di sini hari ini. 

Sin Woon berkata, berdasarkan pertemuannya secara berasingan dengan keluarga itu serta Cikgu Azizan, kedua-dua pihak bersedia menyelesaikan isu berkenaan dengan cara baik.

Justeru, katanya, beliau akan mengatur perjumpaan secepat mungkin bagi menyelesaikan permasalahan antara keluarga murid terbabit dan Cikgu Azizan.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan seorang Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Azizan Manap yang berdepan hukuman penjara setahun kerana didakwa mendera seorang murid atas kesalahan menghidu gam di sekolah dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban, 19 Disember lalu daripada pertuduhan mencederakan murid berkenaan.

Majistret Mohd. Zaki Abdul Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad memaklumkan bahawa pihak pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan ke atas guru itu. - K! ONLINE