Bapa mangsa, Abd. Rashid Hussien, 54, berkata, dia telah berhubung dengan pihak DBKL dan telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang.

“Semalam saya telah berhubung dengan pihak DBKL untuk membincangkan perkara ini dan mereka bersetuju untuk menanggung kos rawatan serta kerugian yang dialami oleh mangsa.

“Pihak kami bersedia untuk bertolak ansur dengan apa yang telah berlaku dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Trafik Jalan Tun H. S. Lee di sini pagi tadi.

Selasa lalu Kosmo! melaporkan tentang, seorang penunggang dan pembonceng motosikal cedera di kepala selepas ditimpa sebarang pokok yang tumbang dalam satu kejadian di Jalan Ampang di sini.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.25 pagi itu, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerja sebelum ditimpa pokok yang berusia 130 tahun itu.

Terdahulu, Abd. Rashid hadir ke balai berkenaan bagi membetulkan laporan yang telah dibuat sebelum ini berkaitan hubungan anak perempuannya, Mira Ezva Abd. Rashid, 25, dengan seorang lagi mangsa, Nor Azrul Ahmad, 37, yang dikatakan sudah berkahwin sehari sebelum kejadian berlaku.

“Anak saya (Mira Ezva) masih belum lagi berkahwin dan hubungan mereka berdua hanyalah sekadar kawan.

“Mungkin Mira mengeluarkan kenyataan telah berkahwin kepada akhbar dalam keadaan trauma atau terkejut memandangkan dia mengalami pendarahan dalam kepala,” katanya. - K! ONLINE