Ini berikutan keluarga mangsa mengadakan upacara ritual menyeru roh mangsa, diketuai dua sami dan dihadiri dua orang wanita dipercayai isteri mangsa dan rakannya kira-kira pukul 4.30 petang.

Beberapa anggota polis turut berada di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

Mengikut kepercayaan masyarakat Tionghua, upacara sedemikian penting kerana roh seseorang yang mati secara tragik misalnya membunuh diri dan dibunuh akan berkeliaran di kawasan lain selepas insiden dan perlu dipanggil balik ke tempat asal (rumah) bagi memastikan rohnya tenang.

Dalam kejadian Ahad lepas, mangsa berusia  lingkungan 30-an mati selepas ditikam, dilanggar dan digilis dengan sebuah kereta oleh sekumpulan empat lelaki.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan, sebelum didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka.

Mangsa  dilaporkan berjaya seketika meloloskan diri namun dilanggar dan digilis dengan kereta sebelum keempat-empat lelaki tersebut melarikan diri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan hari ini bahawa kejadian pembunuhan itu berpunca  daripada perselisihan dan perebutan antara dua kumpulan kongsi gelap.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd  berkata pihaknya telah mengenal pasti keempat-empat suspek dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan dan menahan mereka.

Sementara itu, di Nirvana Memorial Centre, Jalan Gelang Patah-Skudai, beberapa anggota keluarga mangsa dilihat sibuk membuat persiapan untuk upacara penghormatan terakhir mangsa. - Bernama