Pengarah Perkeso negeri, Nora Yaacob berkata, biarpun keluarga arwah adalah golongan berkemampuan dan berjaya, tetapi ia menjadi hak arwah untuk menerima pencen penakat sebagai bekas pencarum Perkeso setelah memenuhi syarat tuntutan.

Nora berkata, ibu bapa Adamdidam iaitu Mahamed Ismail Mohamed Yusoff, 69, dan Bibi Aishah Hukum Khan, 67, akan menerima pencen penakat sebanyak RM526.60 secara bulanan sepanjang hayat mereka berdua selain bayaran faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.

“Sebaik mendapat berita mengenai kematian Adamdidam, pihak kami melalui Skuad Perkeso Prihatin negeri Kelantan membuat semakan dan mendapati majikan terdahulunya iaitu Cekap Technical Service Sdn. Bhd. pernah mencarum arwah dengan Perkeso.

"Semakan seterusnya mendapati arwah memenuhi syarat tuntutan pencen penakat iaitu membayar caruman sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tempoh perkhidmatan," katanya selepas menziarahi kediaman keluarga arwah bersama rombongan Skuad Perkeso Prihatin di Telipot di sini hari ini.

Sementara itu, Nora berkata, kes Adamdidam ini adalah contoh terbaik betapa pentingnya majikan membuat caruman Perkeso bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin.

Beliau berkata, penyaluran maklumat kepada pihak Perkeso mengenai kematian pencarum untuk urusan tuntutan caruman juga sangat penting bagi mengelak hak yang sepatutnya diterima keluarga terbiar begitu sahaja.

"Kita tidak tahu musibah yang akan menimpa di masa hadapan, caruman dengan Perkeso inilah yang akan sedikit sebanyak membantu kita," katanya.

Allahyarham Adamdidam yang juga merupakan bapa saudara kepada instafamous cilik terkenal Fatimah Omar Mukhlis yang tinggal di Birmingham, United Kingdom (UK) meninggal dunia 19 Mei lalu pada usia 29 tahun akibat jangkitan paru-paru.

Dalam pada itu, kakak sulung arwah, Dr. Nor Ashmiza, 43, berkata, keluarga akan menggunakan sebahagian duit pencen penakat tersebut untuk diinfak kepada kebajikan atas nama arwah adik bongsunya itu.

"Arwah adalah anak bongsu daripada lima beradik tetapi dialah yang paling mengambil berat tentang keperluan ayah dan ibu.

“Kami tidak tahu langsung bahawa Adam ada caruman Perkeso dan hanya sedar bila dihubungi pihak Perkeso yang memaklumkan adik saya layak pencen penakat.

"Kami bukan memikirkan berkenaan pencen tetapi setidak-tidaknya arwah meninggalkan sesuatu untuk ibu bapanya," katanya. - K! ONLINE