Mangsa, Muhammad Syakir Zufayri Ramli, 19, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.52 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z telah melanggar sebuah kereta jenis Honda City yang diletakkan di lorong paling kiri ketika itu.

“Pemandu kereta tersebut yang juga seorang pelajar kolej swasta hanya menyalakan lampu kecemasan dan tiada sebarang tanda amaran diletakkan di belakang keretanya. 

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa tercampak di lorong tengah jalan raya itu dan dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zani menambah, mangsa mengalami kecederaan parah di kepalanya dan segera dikejarkan ke PPUM untuk menerima rawatan lanjut. Setibanya di sana, dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.

“Dua lagi pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenyataan mereka telah diambil untuk siasatan selanjutnya.

“Punca kematian masih belum diketahui dan bedah siasat akan dijalankan oleh pihak forensik PPUM,” ujarnya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE