Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, apa yang penting, tempoh yang diberikan itu digunakan dengan sebaik mungkin untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Bagi saya tidak ada masalah, nak dua penggalkah, satu penggalkah...yang penting kita dapat menggunakan jawatan ini untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita rasa puas hati, alhamdulillah...cukup. Kita nak berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Sambutan 28 Tahun Membangun Bersama Islam di Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan kepimpinan kerajaan negeri yang lain.

Khamis lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dilaporkan sebagai berkata tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sebagai langkah segera yang dilaksanakan bagi mereformasikan sistem politik.

Ditanya mengenai langkah kerajaan persekutuan yang mahu meneruskan pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Gua Musang, Ahmad berkata kerajaan negeri menyambut baik perkara berkenaan.

"Kita menyambut baik dan berterima kasih (kepada kerajaan persekutuan) kerana dengan adanya lebuh raya ini merupakan satu kemudahan asas yang amat penting kepada rakyat kita sekali gus dapat menjadi pemangkin kepada mereka untuk terlibat dalam pembangunan negeri," katanya. - Bernama