Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ini bagi mengelakkan kerajaan persekutuan membayar pampasan yang jauh lebih tinggi berbanding kos projek jika ECRL dibatalkan.

"Kalau boleh semak baliklah, jangan tergesa-gesa... mungkin walaupun ada positif dan negatif dalam hal ini, pada pandangan kita aspek positif lebih banyak sebab itu kita dari awal lagi menyokong ECRL ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ibadat Qurban Jama'ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menyembelih beberapa ekor lembu bersempena sambutan Aidiladha.

Turut berangkat ke majlis berkenaan Pemangku Raja Kelantan yang juga Yang Dipertua MAIK, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Selasa lepas, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam lawatannya ke China dilaporkan berkata projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai berbilion ringgit dibatalkan.

Perdana Menteri juga dipetik berkata, Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang memahami sebab-sebab pembatalan dua projek yang disokong oleh kerajaan China itu. - bERNAMA