Sedangkan sebelum ini perkampungan itu terkenal begitu memelihara budaya tradisional seperti dikir barat sebagai hiburan bersama rakan-rakan dan juga anggota keluarga yang diadakan sebulan sekali.

Namun kini persembahan hiburan itu tidak lagi ditonjolkan sejak beberapa tahun lalu, hingga dangdut mengambil tempatnya dengan daya tarikan yang kuat, hingga mampu menggamit warga emas berkopiah.

Ada pula penonton membawa bersama anak-anak kecil menyaksikan tarian yang tidak bermoral itu, seolah-olah ia tarian biasa sahaja.

Bernama melakukan tinjauan selama sebulan di tempat persembahan, bagi menyaksikan sendiri 'kemeriahan' di kawasan tersebut.

Wartawan mendapati persembahan bermula pukul 9 malam hingga 12 tengah malam dengan menampilkan empat penyanyi wanita berpakaian seksi dan menari dengan gaya mengghairahkan bersama lagu berbaur lucah.

Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, persembahan dangdut dilakukan dua hingga tiga kali seminggu tanpa jadual tetap.

"Kita orang kampung dah banyak kali tegur tapi tidak diendahkan kerana kawasan yang digunakan untuk persembahan tersebut adalah tanah persendirian dan orang kampung tidak boleh berbuat apa-apa.

"Penyanyi yang membuat persembahan ini kebanyakan diambil dari negeri jiran (Kelantan), dan mereka ini dibayar dalam anggaran RM400 seorang untuk membuat persembahan satu malam," katanya kepada Bernama.

Beliau juga tidak menafikan masyarakat kampung mulai berasa terganggu dengan kebingitan muzik dangdut hingga ada yang sukar melelapkan mata. - Bernama