Berbuat baik kepada orang lain dan menggembirakan hati juga boleh dianggap sebagai tanda kasih sayang.

Hakikatnya, tiada sempadan jelas tentang apa yang kita boleh dan sanggup buat atas dasar kasih sayang. Contoh terbaharu, seperti paparan di muka depan Kosmo! kelmarin.

Cerita menyentuh hati tentang kasih sayang seorang adik yang tanpa ragu, berjiwa besar mendermakan sebahagian buah pinggangnya kepada abang.

Mendermakan buah pinggang kita, walaupun merupakan satu prosedur pembedahan berisiko rendah, ia tetap memerlukan kekuatan, keikhlasan dan keberanian untuk merea­lisasikannya.

Ketika pertama kali membaca kisah pengorbanan Mohd. Azruldin Ali terhadap abangnya, Mazlan, saya mengakui sangat terharu bahkan terlalu kagum dengan kesanggupan si adik.

Hati kecil ini berkata, hebat sungguh didikan orang tua mereka sehingga boleh membentuk anak-anak yang berjiwa besar, prihatin dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarga sendiri.

Di Malaysia, pendermaan organ semasa hidup terhad kepada ahli keluarga yang terdekat termasuk pasangan suami isteri. Itupun bakal penderma mesti menjalani pemeriksaan kesihatan yang terperinci bagi memastikan tahap kesihatan mereka berada pada tahap optimum bagi mengurangkan sebarang komplikasi yang mungkin timbul.

Pendermaan organ semasa hidup dari penderma yang tidak mempunyai kaitan keluarga tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes tertentu apabila pesa­kit gagal mendapatkan penderma hidup dalam kalangan ahli keluarga dan tiada alternatif lain untuk menyelamatkan nyawa. Kebiasaannya, kes sebegini ha­nya melibatkan pendermaan hati.

Kisah penderma hati yang pernah menarik perhatian seluruh Malaysia 20 tahun lalu tentu masih segar dalam ingatan kita. Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail membuktikan sifat kemanusiaan dan kasih sayang tidak terhad kepada ahli keluarga apabila mendermakan sebahagian hatinya kepada Mohd. Afiq Ikmal Muhammad Zaini kini berusia 20 tahun.

Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada 3 April 1999, menjadi saksi kemurnian jiwa Mohd. Hafizam mendermakan sepertiga hatinya demi menyambung hayat seorang bayi bermasalah hati berusia 14 bulan yang dikatakan hanya mampu hidup lapan bulan lagi.

Peristiwa masyhur itu mencipta sejarah baharu kerana ia merupakan prosedur pen­dermaan organ tanpa pertalian keluarga pertama di negara ini.

Selain cerita-cerita penderma hidup, jiwa kita pasti tersentuh dengan kisah Carmen Mark, gadis berusia 18 tahun dari Pulau Pinang yang diisytiharkan mati otak, 25 hari selepas terjatuh akibat daripada malformasi arteriovenous (AMV) pada 3 Julai 2015.

Demi menunaikan hasrat Carmen, ibu bapanya membenarkan organ anak gadis mereka didermakan. Organ Carmen termasuk jantung, hati, buah pinggang dan pankreas diberikan kepada lapan penerima termasuk seorang pesakit buah pinggang yang telah menunggu selama 11 tahun untuk penderma yang sesuai.

Pastinya, atas dasar kasih sayang, Mohd. Azruldin mendermakan sebelah buah pinggang untuk abangnya.

Terpanggil dengan rasa sayang sesama manusia, Wan Mohd. Hafizam pula menyanggupi untuk sepertiga hatinya diambil Mohd. Afiq Ikmal yang tiada pertalian darah.

Walaupun sedang berduka, kerana kasih sayang yang cukup besar kepada Carmen, Mark Kok Wah dan isterinya, Ariess Tan membenarkan organ-organ anak gadis mereka ‘diagih-agihkan’ demi kelangsungan hidup manusia lain.

Hebatnya rasa kasih sayang yang ditunjukkan oleh insan-insan mulia ini!

Jika kasih sayang sesama manusia yang ditanam Tuhan sudah sebesar ini, bagaimana pula rasa kasih sayang Tuhan Yang Maha Pengasih kepada kita?

Semoga kisah kehebatan kasih sayang dan pengorbanan yang ditonjolkan di media massa tentang pendermaan organ ini bukan sekadar menimbulkan rasa terharu, tetapi diterjemahkan dengan cara yang lebih membina dengan mengisytiharkan diri kita sebagai penderma organ. Marilah kita berkasih sayang.