Sambil menikmati juadah, saya teruja apabila tetamu yang terdiri daripada ibu-ibu berusia lebih 50 tahun berbicara me­ngenai hobi mereka yang suka mengumpul bekas makanan dan minuman berjenama Tupperware.

Pelbagai cerita dikongsikan bersama sepanjang pengalaman menyimpan barangan yang menawarkan jaminan seumur hidup itu.

Sangat bertuah bagi peminat tegar jika suami memberi restu dan menyokong hobi mengumpul koleksi Tupperware.

Tetapi jika ada yang melarang, ia membuatkan si isteri lebih kreatif me­nyimpan dan menyorokkannya di dalam kabinet dapur bagi mengelak suami menemui dan berleter seharian.

Para suami menganggap tindakan isteri terus menerus membeli barangan Tupperware merupakan satu perkara yang membazir kerana sudah terlalu banyak barangan tersebut disimpan di dapur.

Kepuasan peminat tegar terhadap jenama tersebut tidak terhenti selepas memiliki satu set barangan baharu meskipun har­ganya mencecah ratusan ringgit.

Setiap kali katalog baharu diedarkan oleh pengedar Tupperware, ketika itu jugalah semangat untuk membuat tempahan baharu muncul kembali.

Lebih menarik jika, pengedar khususnya dalam kalangan rakan sekerja menawarkan skim bayaran secara ansuran setiap bulan.

Saya mula menyimpan koleksi tersebut sejak 25 tahun lalu menjadikan hobi tersebut sebagai terapi minda dan fikiran.Kepuasan jelas terserlah apabila makanan disimpan secara teratur di dalam bekas kedap udara, menyimpan barangan basah dan sayuran di dalam bekas berwarna di dalam peti sejuk serta juga ketika dihidangkan.

Setiap barangan yang disimpan meskipun yang kecil atau besar, pastinya saya tahu di mana lokasi dan lebih membimbangkan jika hilang semasa anak-anak membawa bekal ke sekolah atau ke tempat kerja.

Lebih memburukkan keadaan, jika bekas makanan tersebut yang dibawa ke rumah kenalan atau saudara-mara tidak dipulangkan semula.

Situasi ini pastinya pernah dialami oleh setiap ibu dan wanita yang me­ngumpul koleksi barangan tersebut dan saya me­ngakui, tabiat buruk dan prasangka negatif itu perlu dibuang jauh-jauh ke­rana anggaplah ia sebagai satu hadiah dan sedekah kepada mereka yang memerlukan.

Hal ini kerana produk yang hilang itu boleh digantikan dengan koleksi baharu kerana syarikat tersebut setiap bulan menawarkan koleksi dan promosi baharu.

Selain itu, jenama Tupperware juga telah melahirkan ramai usahawan berjaya dan ia dapat dilihat bilangan wanita yang membuka outlet di pusat komersial dan juga di kios di pusat beli-belah sema­kin bertambah.

Bagi mereka yang menjadikan Tupperware sebagai mata pencarian utama atau secara separuh masa, teruskan usaha untuk le­bih berjaya, guna kreativiti masing-masing khususnya di media sosial untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Buat peminat tegar Tupperware, berpada-padalah ketika membeli-belah dan jangan membazir.

Lebih penting lagi, ja­ngan dimarahi suami dan anak jika barangan tersebut hilang atau tertinggal ekoran kelalaian mereka. Anggaplah ia sebagai satu hadiah buat peminat jenama yang menemuinya di luar sana.