Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 1.20 petang ketika sejumlah pelanggan membeli-belah di situ.

Menurutnya, seramai 30 anggota bomba diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

"Kebakaran membabitkan empat unit premis milik kedai serbaneka berkenaan. Kejadian bermula dengan kepulan asap tebal menyelubungi keempat-empat unit kedai sebelum api marak membakar keseluruhan premis.

"Kerja-kerja pemadaman dilakukan segera dan bomba mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengawal api darripada terus merebak ke premis lain," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau operasi pemadaman itu hari ini.

Norazam memaklumkan, dua unit kedai musnah 100 peratus, manakala baki dua lagi rosak 50 peratus.

Katanya, kesemua barang jualan di kedai serbaneka itu tidak dapat diselamatkan.

"Siasatan awal mendapati kebakaran bermula di unit kedai bahagian tengah iaitu di belakang premis. Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak membabitkan kemalangan jiwa," ujarnya.

Tambahnya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. K! ONLINE