Tinjauan Kosmo! mendapati orang ramai tidak mahu menunggu saat akhir bagi mendapatkan tong air tersebut yang didapati dijual pada harga berpatutan.

Seorang kakitangan kerajaan, Faizah Alias, 39, memberitahu, dia membeli sebanyak empat tong air bagi kegunaan 11 orang ahli keluarganya di Seksyen 9 di sini.

Katanya, harga yang ditawarkan oleh pengusaha kedai bagi satu tong liter 22 liter berharga RM30 masih relevan.

"Kalau difikirkan memang tidak cukup tiga tong air ini bagi kegunaan sepanjang gangguan dalam tempoh hampir tiga hari bagi kami seisi keluarga.

"Namun, jadual pembekalan air secara berjadual sedikit sebanyak dapat membantu kami menyimpan air terutama bagi kegunaan harian," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Nurul Adibah Anaitullah, 22, berharap para peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga bagi mengaut keuntungan berlebihan susulan gangguan bekalan air itu.

"Saya hanya membeli satu sahaja tong air  berikutan telah terdapat tiga tong di rumah sewa yang didiami 10 penghuni.

"Bagaimanapun, kita berharap ada pemantauan pihak berkuasa terhadap peniaga yang menjual tong air dengan harga melampau demi kebaikan pengguna," katanya.

Dalam pada itu, seorang pemilik kedai pemborong plastik, Michael Chai menegaskan menempah kira-kira 1,500 tong air daripada kilang sebaik notis gangguan air dikeluarkan pihak bertanggungjawab.

"Secara rekodnya, penjualan tong air boleh dianggap sebagai acara tahunan susulan gangguan bekalan air.

"Namun, saya berasa tiada pembelian panik daripada pengguna dengan sebahagian besar penduduk di daerah ini berkemungkinan mempunyai tong air yang dibeli mereka sebelum ini," jelasnya. - K! ONLINE