Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayabu Khalib berkata, pihaknya akan membuat pemantauan secara berkala bagi memastikan pengusaha kedai itu mematuhi dan meletakkan harga jualan barangan yang munasabah.

"Kami merujuk kepada laporan Bernama pada 19 Jun lepas yang melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa sebuah kedai di HPP menjual air mineral pada harga melampau dan pihak kami telah membuat penyiasatan berhubung perkara berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihaknya komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan sentiasa bersedia menerima maklum balas untuk meningkatkan mutu perkhidmatan secara berterusan.

Persatuan Hindu Pulau Pinang mendakwa, sebuah kedai yang beroperasi di HPP di sini menjual air mineral dengan harga mahal sehingga mampu mengaut keuntungan kira-kira 150 peratus.

Berdasarkan pemantauan, NGO itu mendapati kedai berkenaan menjual air mineral untuk botol 1,500ml pada harga RM2.50 berbanding RM1.20 di pasar raya manakala bagi air mineral saiz 500ml yang dijual 60 sen di pasar raya dijual pada harga RM1.50. - Bernama