Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Tinggi, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Ir. Zamri Yusof berkata, kadar peningkatan ini semakin ketara sejak Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini dan negara.

"Kita jangka pembangunan di Langkawi akan lebih ketara selepas perubahan kerajaan baru-baru ini. Pelabur-pelabur mulai kembali melabur di Langkawi dan kami perlu bersedia sekurang-kurangnya dua hingga empat tahun kehadapan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya dan Berbuka Puasa anjuran Taliworks (Langkawi) Sdn. Bhd. di sini malam tadi.

Beliau berkata, meskipun kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sebelum ini telah mengumumkan projek besar bekalan air bernilai RM600 juta untuk Langkawi, kerajaan Pakatan Harapan akan menghalusi projek itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Sebarang projek besar sudah semestinya daripada federal (Kerajaan Pusat) kerana bajet dan dana datang daripada mereka (untuk melaksanakan projek besar)," katanya.

Sementara itu, Zamri berkata, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) iaitu syarikat milik kerajaan negeri yang membekal air terawat menjangkakan peningkatan penggunaan air hingga lebih tiga kali ganda semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Katanya peningkatan ini berlaku ekoran ramai warga Kedah dari negeri lain pulang untuk berhari raya dan SADA sudahpun mengenal pasti kawasan terlibat untuk diberi keutamaan bagi meningkatkan kadar pelepasan bekalan air.

"Kita telah mengadakan beberapa perbincangan awal tentang langkah (untuk menghadapi sebarang kemungkinan) sebab umum sudah mengetahui keadaan di Kedah ini setiap kali tiba musim perayaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta rakyat di negeri ini yang pulang ke kampung untuk tidak menggunakan air secara berlebihan bagi mengelak sebarang masalah bekalan.

"Gunalah pada kadar yang sesuai dan sederhana. Janganlah sampai ke peringkat yang membazirkan," katanya, sambil menambah bekalan air boleh terganggu jika berlaku penggunaan berlebihan. - Bernama