Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, kenderaan kini telah mula memasuki negeri ini secara berperingkat sejak Jumaat lalu berikutan cuti sekolah selain mereka yang pulang untuk menyambut 1 Syawal.

"Kita menasihatkan orang ramai buat perancangan perjalanan sebaik mungkin terutama dari Johor dan Kuala Lumpur dengan menyemak aliran trafik Lebuh Raya Utara Selatan menerusi laman web PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

"Rehatlah dengan cukup bagi mengelak berlakunya terlelap ketika memandu yang boleh menyebabkan risiko kemalangan maut," katanya pada pemberita pada Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Aidilfitri Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Program itu dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama, Azman Nasrudin. - K! ONLINE