Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, dalam satu kenyataan berkata, pengecualian ini akan membolehkan kerajaan mengutip lebih banyak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melalui perbelanjaan yang tinggi terhadap barangan dan perkhidmatan serta memberikan manfaat kepada negeri-negeri berkenaan dan ekonomi negara. 

Katanya, pelancong ke Sabah dan Sarawak merungut kerana tambang penerbangan yang tinggi dari Kuala Lumpur. 

"Kos yang tinggi terhadap perjalanan udara terutamanya antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak menyebabkan rakyat Malaysia memilih melawat negara serantau berbanding melancong di dalam negara.

"Dengan menambah enam peratus cukai perkhidmatan bagi penerbangan domestik, ia tidak menggalakkan untuk 'terbang di dalam negeri'. Bagaimana kita dapat membangunkan bandar kecil dan negeri selain Kuala Lumpur sebagai hab pelancongan?" soalnya.  

Rayuan yang dibuat MATTA untuk pengecualian itu adalah reaksi terhadap kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa kerajaan bersifat terbuka dalam menerima maklum balas orang awam berhubung SST.

Kok Liang berkata, pelancongan domestik adalah antara penyumbang utama industri pelancongan dan dijangka meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan perbelanjaan pelancong yang datang berjumlah RM82.1 bilion tahun lepas sementara pelancongan domestik sebanyak RM83.1 bilion.   

"Potensi kutipan SST daripada keseluruhan industri pelancongan adalah besar sedangkan tiket penerbangan domestik adalah bahagian kecil daripada jumlah itu. 

"Mengenakan cukai perkhidmatan terhadap tiket penerbangan domestik tidak menggalakkan pelancong yang sangat sensitif terhadap harga daripada melancong di dalam negara," tambahnya. - Bernama