Mungkin sesetengah daripada kita yang tertanya-tanya apa itu Gojek? Namun, bagi mereka yang pernah berkunjung ke Indonesia terutamanya Jakarta, pasti sudah biasa de­ngan gojek.

Oleh sebab kesesakan lalu lintas di Jakarta begitu kritikal tidak kira waktu, gojek sering menjadi pilihan utama rakyat Indonesia untuk ke sesuatu tempat tepat pada masanya.

Selain itu, harganya juga begitu murah iaitu serendah RM2.50 untuk radius satu kilometer.

Biarpun murah jangan dianggap gojek sebagai pengangkutan untuk golongan kelas bawahan. Hal ini kerana, ramai selebriti kelas A Indonesia turut menggunakan gojek jika mereka perlu ke satu-satu lokasi dengan kadar segera.

Antara pengguna tegar gojek ialah Raffi Ahmad, Marcell, Dian Sastrowardoyo, Aura Kasih dan Verrel Bramasta.

Alasan mereka mudah, mahu tiba di lokasi kerja seperti set penggambaran atau studio pada waktu yang tepat tambahan jika bersia­ran secara langsung.

Perkhidmatan yang ditawarkan nampak begitu relevan dan bersesuaian bukan sahaja di Indonesia, tetapi gojek telah pun memasuki pasaran Vietnam, Thailand dan Singapura.

Ironinya, Malaysia sebenarnya telah pun mempunyai perkhidmatan yang serupa iaitu Dego Ride yang mula beroperasi pada 2016.

Cukup popular di sekitar Kuala Lumpur. Namun, perkhidmatan Dego Ride diharamkan kerajaan pada 2017 atas alasan isu ke­selamatan.

Menurut Ketua Pusat Penyelidikan Ke­selamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua, 60 peratus daripada 7,000 kes kematian akibat kemalangan jalan raya berpunca daripada penunggang motosikal.

Angka tersebut dijangka meningkat sehingga ke 10,000 kes kematian jika gojek atau perkhidmatan motosikal teksi dilaksanakan.

Namun, jika melihat dari sudut positif kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, perkhidmatan teksi motosikal itu dapat membuka peluang pekerjaan kepada 10,572 pekerja.

Gojek menawarkan 16 perkhidmatan termasuk teksi motosikal, penghantaran makanan dan surat.

Malah, gojek juga menawarkan perkhidmatan ojek syariah iaitu khas untuk penunggang dan pelanggan wanita sahaja.

Penulis tertarik dengan syarat-syarat untuk menjadi penunggang ojek syariah yang begitu teliti. Antaranya harus berhijab dan memakai pakaian Muslimah serta memiliki surat kebenaran mahram untuk menjalankan operasi.

Melihat sejarah dan respons pengguna perkhidmatannya nampak begitu meyakinkan dan memudahkan orang ramai dengan kos yang begitu rendah.

Bagaimanapun persoalannya adakah rak­yat Malaysia bersedia untuk menerima perkhidmatan teksi motosikal ini?