Tindakan itu dilakukan susulan Huawei yang berpangkalan di China dan entitinya terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan kepentingan ke­selamatan negara AS susulan pembangunan teknologi rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) syarikat itu.

Teknologi tersebut boleh meningkatkan kepantasan secara drastik pada transmisi data, audio dan video Huawei, malah sebuah filem boleh dimuat turun dalam masa kurang empat minit berbanding 45 minit melalui 4G.

Senario kecanggihan teknologi 5G itu dilihat kurang mengujakan penduduk di luar bandar di negara ini berikutan masih banyak kawasan yang tidak mendapat liputan telekomunikasi yang memuaskan.

Keadaan itu turut dialami penduduk di kampung kelahiran saya di Kampung Ulu Rembang Panas, Juasseh, Negeri Sembilan. Walaupun, terdapat menara telekomunikasi yang jaraknya hanya dua kilometer dari rumah keluarga saya, liputan rangkaian telekomunikasi masih agak lemah.

Jika ingin mendapatkan rangkaian 3G, saya perlu pergi ke halaman rumah barulah boleh membuat panggilan atau menerima mesej di aplikasi Whatsapp. Keadaan itu berpunca daripada geografi di kampung saya yang berbukit-bukit sekali gus menghalang liputan rangkaian.

Diharapkan pihak yang berkenaan mempunyai rancangan untuk meningkatkan rangkaian tersebut dalam masa terdekat ini. Lebih menyedihkan, sejak setahun lalu, beberapa buah rumah mengalami gangguan telefon talian tetap sehingga ada yang dengan berat hati menamatkan langganan mereka.

Ia berikutan, laporan yang mereka buat kepada pihak berkaitan tidak mendapat perhatian sewajarnya sehingga masalah itu berlarutan dalam tempoh yang lama.

Keadaan itu turut menimpa keluarga saya apabila sejak tiga bulan lalu talian telefon tetap mengalami beberapa kali gangguan. Masalah tersebut masih menghantui keluarga kami kerana talian telefon tersebut masih rosak walaupun telah dibaiki sebelum ini.

Laporan juga telah dibuat kepada pihak ber­kenaan kira-kira dua ming­gu lalu, namun masalah tersebut masih belum selesai. Persoalannya, apakah yang menyebabkan masalah tersebut sukar diatasi?

Dalam keadaan teknologi yang semakin canggih, masalah berkaitan telefon rumah rosak sepatutnya dapat diselesaikan dalam waktu singkat.

Penggunaan telefon rumah amat penting bagi penduduk kampung kerana talian telefon bimbit amat teruk. Kami sukar berhubung dan bertanya khabar ibu bapa. Diharapkan masalah ini mendapat perhatian segera daripada pihak yang berkaitan.

Sementara itu, seorang jiran saya turut mengadu berkenaan talian internet rumah yang tidak stabil dan sering terputus. Keada­an tersebut lebih kronik ketika hari hujan.

Ia tidak setimpal dengan bayaran sebanyak RM120 setiap bulan yang dikenakan ke atasnya. Keadaan itu amat berbeza dengan kawasan bandar yang dapat menikmati kemudahan internet lebih pantas pada kadar lebih murah.

Besarlah harapan penduduk kampung kami untuk dapat menikmati kemudahan internet yang pantas dan tidak putus seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih.