Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, rakyat Malaysia seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada negara luar dengan mempraktikkan amalan kebersihan bukan sahaja di tandas awam malah di semua tempat.

"Kita mohon kerjasama semua untuk menjaga tandas-tandas awam termasuk PBT, jangan berharap kepada kontraktor cuci sahaja sebaliknya kita sendiri apabila masuk tandas, kita kena pastikan sebelum keluar tandas itu bersih seperti mana kita masuk.

"Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020. Kita menyasarkan 37 juta pelancong akan datang ke Malaysia. Rakyat Malaysia mestilah menunjukkan satu contoh yang baik dan antara contoh yang baik adalah menjaga kebersihan negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Parlimen Balik Pulau, dekat sini malam tadi.

Beliau mengulas mengenai isu tandas awam kotor yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Ogos lepas.

Mahathir menyatakan bahawa beliau malu dengan keadaan tandas awam di negara ini yang kotor dan busuk yang menurutnya mencerminkan masyarakat Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab sivik.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata kementeriannya mengadakan banyak program 'Voluntourism Malaysia Bersih dan Indah' iaitu program berbentuk sukarelawan untuk mendidik dan memupuk amalan kebersihan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, menerusi program itu, orang awam boleh mengambil bahagian dengan menjalankan aktiviti pembersihan seperti 'plogging' atau ‘trash hero’ semasa mereka melancong ke destinasi pelancongan.

"Kita banyak program voluntourism yang kementerian buat untuk memupuk nilai bersih dalam kalangan rakyat Malaysia. Malaysia bersih dan indah bukan hanya di tandas awam sahaja malah di tempat-tempat awam pelancongan, destinasi pelancongan seperti pantai, trek hutan lipur, taman permainan, taman bunga dan sebagainya kita buat banyak program untuk memupuk nilai kebersihan," katanya.

Menurutnya, kementerian sedang menyediakan dana untuk program-program seumpama itu dalam usaha meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan. - Bernama