Malah, siapa sangka, tentera Nippon juga memiliki dua buah kapal perang paling besar di dunia iaitu Yamato dan Mushashi. 

Kapal seberat 72,000 tan dan panjang lebih 260 meter itu menjadi simbol kekuatan  armada Jepun di laut.

Malah, Jepun ketika itu setanding dengan Amerika Syarikat (AS)  apabila mempunyai bukan satu atau dua tetapi 10 buah kapal pengangkut pesawat. Kapal induknya, Shinano adalah antara yang paling besar ketika itu. 

Umum juga  tahu bahawa letupan dua bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menjadi titik noktah cita-cita imperialisme Tokyo.

Selepas negara itu diduduki tentera AS dalam tahun 1945 hingga 1952, Jepun mendapatkan semula kemerdekaannya. Namun, tenteranya  yang kuat suatu masa dahulu hanya tinggal sejarah.

Di bawah perlembagaan pasca perang yang digubal, Jepun dilarang daripada melancarkan perang, manakala pada tahun 1954, tentera Jepun berwajah baharu dinamakan Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF) ditubuhkan. 

Jika dilihat pada namanya, tentera baharu itu hanya sekadar memenuhi syarat sebuah negara yang merdeka dan dipenuhi dengan kekangan. Rakyat Jepun amnya, sudah jelik dengan perang dan kuasa tentera Asia yang dahulunya gah ibarat harimau yang hilang taring. 

Sejak penubuhannya, JSDF bukan sahaja pasukan tentera yang tidak digeruni, malah tidak pernah menyertai sebarang pertempuran.

Dari aspek perlembagaan, tiada halangan untuk Jepun muncul semula sebagai kuasa tentera utama seperti beberapa dekad lalu, namun rakyat dan pemimpinnya memberi tumpuan untuk memacu negara itu untuk muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia.

Namun, perkembangan di Asia termasuk tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik sehingga menceroboh sempadan wilayah Jepun dan keberanian China dalam isu tuntutan bertindih membuka mata Tokyo bahawa ia tidak selamanya boleh bergantung kepada pakatan pertahanan dengan AS.

Jepun sebenarnya mempunyai teknologi dan kepakaran jika ia mahu mempersenjatai semula angkatan tenteranya. Negara itu mempunyai lebih 300,000 askar termasuk pasukan  simpanan, hampir 3,000 kereta kebal dan perisai, lebih 200 artileri, kira-kira 100 peluru berpandu, hampir 1,700 pesawat tentera, 129 kapal dan 17 kapal selam. 

Jepun juga mempunyai dua buah kapal induk, Izumo dan Kaga yang berselindung di sebalik nama kapal pengangkut helikopter. Tokyo merancang mengubah suai kedua-dua kapal itu untuk fungsi sebenarnya, sebagai pangkalan bergerak untuk pesawat tempur. 

Dari aspek peluru berpandu pula termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), Jepun tidak memilikinya, namun, harus diingat, Tokyo mampu  melancarkan roket dan satelit sendiri ke angkasa lepas. 

Ia bermakna Tokyo hanya memerlukan masa beberapa bulan sahaja untuk mengubah suai teknologi itu untuk menghasilkan ICBM sendiri.

Perkembangan semasa di Semenanjung Korea dan Laut Timur mendorong kebangkitan semula angkatan tentera Jepun. Dasar pasif yang sinonim dengan JSDF juga akan dirombak menjelang tahun 2020.

Perkembangan itu bakal menyaksikan sebuah kuasa tentera baharu akan muncul di rantau Asia selain China, India, Pakistan dan Korea Utara. 

Kebangkitan semula itu sedikit sebanyak akan mengubah status quo di rantau itu, sama ada ke arah kestabilan ataupun sebaliknya.