Rapid KL dalam kenyataan media hari ini berkata, berikutan kerosakan pada kabel tersebut, sumber kuasa di semua platform stesen bawah tanah yang menghala ke Stesen LRT Putra Heights perlu ditutup untuk kerja-kerja pembaikan.

"Sementara kerja-kerja pembaikan dijalankan oleh juruteknik Rapid Rail, pihak pusat kawalan operasi LRT Laluan Kelana Jaya telah mengaktifkan pelan 'Alternate Service', di mana semua tren dari Stesen LRT Putra Heights berpatah balik ke Stesen LRT Masjid Jamek, dan semua tren dari Stesen LRT Gombak berpatah balik ke Stesen LRT Ampang Park. 

"Perkhidmatan tren 'shuttle' antara Stesen LRT Ampang Park dan Stesen LRT Masjid Jamek disediakan untuk membawa para penumpang daripada arah Stesen LRT Gombak dan Stesen LRT Putra Heights," kata kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, gangguan teknikal tersebut berjaya diselesaikan dan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kembali normal pada pukul 12.57 tengah hari semalam.

"Para penumpang yang terjejas telah ditawarkan kupon bayaran balik yang diboleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Kelana Jaya," kata kenyataan itu.

Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh pengguna sepanjang tempoh gangguan tersebut. - Bernama