Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak bomba berhubung penemuan beberapa buah komputer serta telefon bimbit selepas memadamkan kebakaran di bahagian dapur rumah tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam salah sebuah bilik di rumah itu polis menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

“Hasil siasatan mendapati rumah berkenaan disewakan kepada seorang lelaki warga China dua bulan lalu, namun ketika pihak bomba tiba bagi memadamkan kebakaran rumah berkenaan tiada penghuni.

“Hasil pemeriksaan pihak polis merampas 16 telefon bimbit, 16 komputer, modem serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kesemua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk siasatan. - K! ONLINE