Kawasan tersebut adalah meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna yang membabitkan kawasan pesisir pantai sepanjang 1,733.7 kilometer.

Timbalan Menteri Dalam Negeri,  Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, selain aspek kelengkapan persenjataan dan latihan setimpal kerajaan juga akan mengkaji bayaran elaun para petugas Rela yang ditempatkan di kawasan Esszone.

"Kita tidak menidakkan keupayaan anggota Rela membantu pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memantau dan menjaga keselamatan di sana.

"Namun, apa yang menjadi persoalan kepada saya ialah mengenai latihan yang diberikan kepada anggota Rela terbabit. Mereka sewajarnya menerima latihan sama seperti pasukan tentera dan polis bagi mempersiapkan diri menghadapi ancaman khususnya di kawasan Esszone yang berisiko tinggi," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perjumpaan Warga Rela Sabah di Sepanggar hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin dan Pengarah Rela Negeri Sabah, Mohammad Pauzi Jhumat.

Dalam pada itu, Mohd. Azis turut memberitahu, kadar bayaran elaun  anggota Rela bertugas di kawasan Esszone juga akan dikaji. - K! ONLINE