Timbalan Menterinya, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, isu berkenaan dilihat kurang mendapat perhatian kerajaan sebelum ini dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menangani perkara tersebut.

"Saya sendiri turun padang melawat beberapa berek polis, kawasan saya (Sepanggar) pun berek polis sangat daif, setiap rumah hanya ada dua bilik dan satu tandas. Saya lihat berek polis lagi daif daripada rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin). Rumah PPRT pun ada tiga bilik dan dua tandas.

"Sewaktu kerajaan dahulu, isu kebajikan anggota polis kurang mendapat perhatian. Setidak-tidaknya kita selaku kerajaan perlu menimbang dan perlu fikirkan kebajikan anggota polis yang berkorban menjaga keselamatan negara," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sesi penggulungan itu menjadi hangat apabila R.S.N. Rayer (PH-Jelutong) menggunakan perkataan kurang sopan, 'kepala bapak' ketika mempertikaikan tindakan kerajaan terdahulu. - Bernama