KDN dalam satu kenyataan berkata, ia diputuskan berikutan pembentangan Nota Jemaah Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertajuk Inisiatif Pelaksanaan Bagi Mengurangkan Kesesakan Di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI dan KSAB.

Katanya, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu memutuskan KDN juga dipertanggungjawabkan sebagai Urus Setia Jawatankuasa Khas manakala Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan di peringkat Negeri Johor dibubarkan.
 
Jelasnya, inisiatif itu merangkumi pelaksanaan inisiatif secara jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangaka masa panjang bagi mengurangkan senario kesesakan teruk yang masih berlarutan di pintu-pintu masuk tersebut. 

“Semua inisiatif pelaksanaan yang telah dikenal pasti adalah hasil dapatan melalui sesi libat urus seperti bengkel, perbincangan dan mesyuarat penyelarasan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.

“Mesyuarat juga bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Kecil dianggotai oleh beberapa menteri dan wakil kerajaan negeri Johor yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri untuk menyusuli dan memperhalusi inisiatif-inisiatif yang disyorkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara inisiatif segera yang dipertimbangkan bagi menangani kesesakan di kedua-dua pintu masuk itu adalah dengan meluluskan peruntukan khas dan tambahan bagi BSI dan KSAB, menkaji kewujudan satu badan tunggal mengawal sempadan negara dan pintu-pintu masuk termasuk pelabuhan-pelabuhan.

Jelasnya, inisiatif segera itu antara lain turut mengecualikan dasar kawalan pengisian bagi perjawatan di pintu masuk kepada pengisian penuh dan mengadakan kajian bagi mengenal pasti isu, cabaran serta hala tuju untuk keperluan kapasiti penggunaan masa hadapan.

“Mesyuarat itu turut bersetuju untuk memperhalusi beberapa syor lain yang telah dibangkitkan oleh ahli-ahli jwatankuasa khas antaranya melebar dan memanjangkan Tambak Johor, membina laluan pejalan kaki berbumbung, membina laluan kapal serta memperbesarkab kompleks pintu masuk sedia ada.

“Mesyuarat menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi bekerjasama menjayakan inisiatif-inisiatif yang diperakukan ke arah mencari penyelesaian terhadap isu kesesakan di kedua-dua pintu masuk Tambak Johor,” katanya. - K! ONLINE