Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan kajian situasi semasa yang kini berhadapan dengan masalah kewangan, syor kenaikan gaji itu memerlukan sedikit kesabaran.

Jelasnya, bagaimanapun, KDN menyokong kenaikan gaji anggota polis dan perkara itu perlu dibawa ke agensi pusat atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ekoran ia juga melibatkan penjawatan lain selain anggota polis.

“Ia melibatkan penggandaan daripada pelbagai aspek. Asas untuk permohonan kenaikan gaji dan elaun itu telah diminta sejak dahulu namun bagi sesetengah kategori penjawatan itu masih belum diputuskan oleh kerajaan.

“KDN akan meneliti terlebih dahulu dan keputusannya tidak boleh dibuat secara sendirian tanpa melibatkan JPA dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jabatan Imigresen Malaysia 2019 di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memohon agar gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Menurut Abdul Hamid, gaji yang diperoleh golongan berkenaan iaitu daripada sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka bertugas di bandar-bandar besar.

Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan, Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, PDRM mempertimbangkan untuk menaikkan kadar gaji serta elaun melibatkan kira-kira 82,000 anggota polis berpangkat sarjan dan ke bawah di seluruh negara.

Kertas laporan kajian berhubung cadangan kenaikan gaji serta elaun tersebut akan diserahkan kepada kerajaan dalam tempoh dua bulan.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, syor akan dibawa ke kabinet sekiranya ia mendapat persetujuan jabatan dan agensi yang terlibat dalam perbincangan kenaikan gaji anggota polis.

“Syor ini juga tidak akan dibentang di Parlimen kerana ia bukan satu perkara baru. Rayuan telah dibuat oleh pihak persatuan polis sejak dahulu lagi.

“Perkara ini sudah pernah dibawa dahulu namun, tiada keputusan dilakukan. Ekoran mereka fikir ia sesuai dibawa semula, jadi kita perlu teliti terlebih dahulu,” katanya. - K! ONLINE