Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang laporan mengenai perkara itu yang diajukan kepada agensi berkaitan seperti RoS perlu mempunyai asas yang kukuh.

“Itu terserah kepada pihak pertubuhan, agensi dan jabatan berkenaan untuk meneliti apakah kesan soal itu (menerima dana 1MDB).

“Perkara itu luar daripada batas saya. Kita ada ROS serta polis yang buat siasatan. Ia mesti ada asas yang kukuh apa yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jabatan Imigresen Malaysia 2019 di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Pemuda Pakatan Harapan (PH) menghantar surat kepada RoS mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap UMNO susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa beberapa cawangan parti berkenaan, menerima wang berkaitan 1MDB.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, Pemuda PH meminta RoS melakukan siasatan ke atas UMNO seiring dengan siasatan SPRM.

Menurutnya, wang sebanyak RM212 juta yang ingin dituntut SPRM daripada UMNO, sepatutnya digunakan untuk pembangunan negara dan rakyat sebaliknya disalah guna oleh UMNO.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya mendedahkan suruhanjaya telah menfailkan 41 kes permohonan melucut hak membabitkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada 1MDB.

Menurut Latheefa, antara transaksi paling tinggi membabitkan UMNO iaitu sebanyak RM212 juta. - K! ONLINE